Sekolah Kebangsaan Tampasuk 1, diwujudkan atas permintaan orang-orang kampung sekitar Tempasuk pada tahun 1956. Nama asalnya ialah Native Voluntary School (NVS) atau sekolah rakyat. SK. Tampasuk 1 dibina di atas tanah rezab seluas 5. 6 ekar milik kerajaan.
Perkembangan Fizikal
Pada 1 Jun 1956, sekolah ini mula beroperasi dengan sebuah bangunan yang beratap nipah, tiang kayu dan dinding bambu, manakala bangku dan mejanya juga dibuat daripada bambu. Pada tahun 1957 sebuah bangunan baru dibina atas sumbangan kerajaan pada masa itu ditadbir oleh Perintah Daerah. Pada tahun 1978 bangunan baru dibina dan dapat menampung murid yang lebih ramai. Pada tahun 1984 sebuah bangunan dan 2 buah rumah guru dibina dan ianya masih kekal hingga sekarang.
Sejarah Perkembangan Murid dan Guru
Sebelum adanya bangunan baru, seramai 90 orang murid belajar di bangunan lama yang terdiri dari 2 buah kelas dan seorang guru. Jumlah guru dan murid terus meningkat dari tahun ke tahun hinggalah pada tahun 1963 jumlah murid menjangkau 200 orang dengan kelas pembelajaran hingga tahun 5 dan pelajar terdiri daripada murid-murid dewasa. Jumlah murid semakin bertambah dari masa ke semasa. Pada tahun 1998, jumlah semua murid ialah 474 orang dengan jumlah guru seramai 41 orang dan kakitangan bukan mengajar seramai 3 orang.